Pendidikan

BAB 1 PENGENALAN 1.1 Pendahuluan Pengunaan komputer dalam sistem pendidikan merupakan inisiatif kerajaan bagi meningkatkan taraf institusi pendidikan melalui proses pengajaran dan pembelajaran yang merangkumi aspek kurikulum, pedagogi, penilaian dan alat bantuan mengajar. Proses ini membolehkan pelajar melatih diri mereka ke arah pembelajaran kendiri dan kebolehan mengakses komputer yang memfokus kepada pencapaian individu serta kebolehan minda mereka (Abdul Rahim, 1998). Penggunaan sistem teknologi maklumat dalam pendidikan secara sesuai dan bijak boleh membantu sistem pendidikan kita mencapai hasratnya dengan berkesan dan cekap bagi membolehkan negara ini mencapai matlamatnya dan memperbaiki mutu kehidupan rakyatnya (Tobin, 2004). Perkembangan teknologi komputer yang semakin pesat dewasa kini telah memberi impak yang besar kepada dunia pendidikan. Era teknologi maklumat telah bermula dengan begitu drastik sekali mulai dari tahun 1999 di Malaysia. Projek Koridor Raya Multimedia (MSC) yang dilancarkan pada bulan Ogos 1996 oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamed memperkenalkan tujuh aplikasi perdana yang perlu digapai menjelang tahun 2020. Ini adalah merupakan satu anjakan paradigma dalam melahirkan generasi yang bermaklumat dan berpengetahuan tinggi dalam teknologi maklumat. Fenomena ini mengharuskan pelajar supaya berupaya memandu proses pembelajaran mereka dalam persekitaran pembelajaran elektronik, manakala, golongan pendidik pula perlu bersiap sedia mempunyai kemahiran dalam mengintegrasikan penggunaan teknologi maklumat dalam strategi pengajaran. Antara agenda MSC ini ialah kewujudan kepada Sekolah Bestari (Ambigapathy, 1995). Di Malaysia, era pendidikan melalui aplikasi e-pembelajaran telah bermula apabila konsep pembelajaran di universiti diperluaskan dengan melibatkan kepada penawaran kursus-kursus diploma dan ijazah melalui pendidikan jarak jauh. Tujuan asal sistem pendidikan jarak jauh adalah untuk memberi peluang kepada mereka yang sedang bekerja tetapi ingin menambahkan lagi pengetahuan dan ilmu dalam pelbagai disiplin ilmu bagi perkembangan dan pembangunan kerjaya masing-masing. Kursus yang dijalankan melalui pembelajaran maya dengan konsep pendidikan jarak jauh telah dimulakan oleh Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun 1971. Pada tahun 1994, Kementerian Pelajaran Malaysia mengumumkan bahawa semua universiti tempatan di Malaysia perlulah menawarkan kursus secara jarak jauh. Dalam Rancangan Malaysia Ketujuh (1999-2000), isu pendidikan jarak jauh telah menjadi satu agenda utama kerana ia bersifat kos efektif dan efisien (Md. Noor, 1996). E-pembelajaran membolehkan pembelajaran terarah kendiri dilaksanakan dengan lebih berkesan. Pelajar boleh memilih masa, kandungan serta hala tuju pembelajaran mereka. Pelajar juga berpeluang belajar tajuk yang susah berulang kali sehingga pemahaman dicapai. Mereka juga dapat belajar di dalam suasana yang ‘selamat’ tanpa berasa malu untuk bertanya. Pertanyaan juga boleh dibuat di dalam talian (Koran & Jaya Kumar, 2001). Pembelajaran terarah kendiri merupakan satu kaedah pembelajaran yang boleh memupuk daya keinginan pelajar untuk belajar secara kendiri serta meningkatkan daya ketahanan dan tahap motivasi dalaman diri pelajar (Hartley & Bendixen, 2001). Aplikasi teknologi komputer yang berpandukan teori-teori pembelajaran yang relevan dalam pembinaan web pengajaran dan pembelajaran berbantu komputer memainkan peranan yang penting dalam membekalkan beberapa program pengajaran yang besesuaian. Perancangan yang sistematik dan teratur dalam mereka bentuk dan membina web pembelajaran berbantu komputer yang berlandaskan pendekatan teori-teori pembelajaran perlu dilaksanakan terlebih dahulu agar web yang dihasilkan menyumbang kepada keberkesanan pembelajaran dan berkualiti. Soal perancangan kini menjadi semakin kritikal memandangkan matlamat pendidikan negara yang amat mementingkan pembinaan potensi insan secara menyeluruh dan bersepadu berdasarkan kepada matlamat asas pendidikan di sekolah iaitu untuk memperadabkan manusia (Nik Aziz Nik Pa, 1997). Teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) adalah medium kepada pencapaian matlamat pembangunan yang mantap. Ini ditentukan oleh ciri-ciri yang unik dan yang berupaya memperbaiki komunikasi serta pertukaran maklumat, dan juga membentuk rangkaian ekonomi dan sosial global. Sehubungan itu, memandangkan rantau Asia Pasifik dan OIC merupakan pasaran yang paling cepat membangun di dunia, maka adalah perlu untuk menggunakan ICT seiring dan sejajar dengan keperluan kebangsaan, dan juga global (Laporan Jawatan Kuasa Mengkaji, Menyemak dan Membuat Perakuan Tentang Perkembangan Dan Hala Tuju Pendidikan Tinggi Malaysia, KPTM, 2006)